Assignment Pengurusan Bilik Darjah . (Baik ke? Alhamdulillah)

Sejujurnya gaya penulisan esei ni dipengaruhi gaya penulisan esei encik tersayang. Semestinya assignment dia lebih baik daripada saya. Pointer semester ni macam mana? 


Cikgu Amin mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di kelas 5 Ceria. Pada awal semester, beliau dapati ada sekumpulan kecil pelajar lelaki sering ponteng kelas. Beliau tidak mengambil sebarang tindakan dan selalu meneruskan sesi pengajaran seperti biasa. Kini, hampir semua pelajar lelaki sudah ponteng kelas beliau, sementara pelajar yang hadir pun masuk lewat.




          Setiap pelajar bertanggungjawab untuk belajar dengan cara menghadiri kelas di sekolah. Sekiranya pelajar gagal menghadiri kelas kerana kemahuannya sendiri, pelajar ini telah melakukan satu kesalahan disiplin iaitu ponteng. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ponteng bermaksud lari daripada tugas atau tanggungjawab. Terdapat berita yang melaporkan bahawa sepanjang tahun 2002 sehingga 2004, sebanyak 5,807 pelajar diperiksa dalam operasi ponteng sekolah (Ops Sayang) yang dijalankan polis di seluruh negara (Marzita Abdullah, 2005). Berdasarkan situasi yang diberi, Cikgu Amin juga menghadapi kerenah pelajar yang ponteng kelas. Perkara tersebut perlu dibendung kerana gejala ponteng boleh menyumbang kepada kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar (Marzita Abdullah, 2005).

            Berdasarkan situasi yang diberi, masalah ponteng kelas terus terjadi di kelas Cikgu Amin kerana Cikgu Amin tidak mengambil sebarang tindakan terhadap sekumpulan kecil pelajar lelaki yang sering ponteng kelas pada awal semester. Respon Cikgu Amin terhadap pelajar yang ponteng kelas menyebabkan mereka tidak menghormati Cikgu Amin. Cikgu Amin juga meneruskan sesi pengajaran seperti biasa seperti tiada sebarang salah laku terjadi di dalam kelas 5 Ceria. Hal ini menyebabkan pelajar lelaki lain menganggap tindakan ponteng yang dilakukan oleh rakan mereka bukanlah satu kesalahan. Hampir semua pelajar lelaki berani ponteng kelas Cikgu Amin. Pelajar yang hadir pun akan tiba lewat kerana mereka yakin Cikgu Amin tidak akan memarahi mereka apatah lagi mengambil tindakan atas mereka. Meneliti situasi yang diberi, masalah ini hanya berlaku dalam kalangan pelajar lelaki sahaja. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh sikap Cikgu Amin yang mengamalkan pilih kasih antara pelajar perempuan dengan pelajar lelaki. Mungkin cara layanan Cikgu Amin yang berbeza terhadap pelajar perempuan menyebabkan pelajar lelaki bosan lalu ponteng kelas. Mungkin juga Cikgu Amin terlalu garang terhadap pelajar lelaki sehingga mereka takut untuk masuk ke kelas.

            Menurut Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 6/1995, ada dua faktor utama yang menyebabkan para pelajar melakukan ponteng iaitu faktor sekolah dan faktor luar sekolah. Faktor luar sekolah pada kebiasaannya di luar kawalan sekolah untuk menanganinya. Meskipun begitu, usaha yang berkesan perlu dilakukan bagi membendung masalah ini. Menurut Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel (2005), faktor-faktor yang menyebabkan masalah disiplin dan tingkal laku bermasalah ialah faktor diri pelajar, guru, sekolah dan latar belakang pelajar. Faktor diri pelajar menunjukkan bahawa seseorang pelajar ponteng kelas disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Contohnya, sekumpulan kecil pelajar lelaki yang ponteng kelas pada awal semester telah menimbulkan satu gaya baru yang dianggap hebat olah rakan-rakan mereka yang lain. Naluri ingin tahu pelajar yang lain menyebabkan mereka turut ponteng kelas bagi berasa hebat melakukan kesalahan tanpa dikenakan sebarang tindakan. Kebosanan dengan aktiviti kelas kadang kala mendorong kanak-kanak melanggar peraturan, menipu atau mengganggu rakan dalam kelas tanpa tujuan yang munasabah. (Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel, 2005). Merujuk kepada faktor yang menyebabkan pelajar ponteng ialah kebosanan terhadap aktiviti  kelas tersebut. Mungkin aktiviti yang dilakukan oleh Cikgu Amin tidak berjaya menarik minat pelajarnya untuk terus mengikuti pengajaran beliau di dalam kelas. Faktor guru menjadi punca pelajar ponteng kelas kerana guru tidak berupaya memberikan dorongan kepada para pelajar untuk tidak ponteng kelas. Contohnya, Cikgu Amin tidak mengambil tindakan kepada pelajar yang melakukan kesalahan menyebabkan pelajar lain turut ikut ponteng. Selain itu, Cikgu Amin mungkin tidak kreatif dalam pengajaran lalu menjadi punca pelajarnya ponteng. Keadaan kelas yang kondusif dan ceria bagi proses pengajaran dan pembelajaran juga antara faktor yang penting dalam memastikan pelajar tidak bosan untuk belajar di dalam kelas. Faktor lain ialah peranan sekolah yang tidak melaksanakan tindakan disiplin secara tegas dan konsisten. Pelajar yang melakukan kesalahan hanya dibiarkan tanpa tindakan disiplin menyebabkan pelajar tidak menghormati peraturan sekolah. Faktor latar belakang pelajar memainkan peranan kerana pelajar yang diasuh untuk mematuhi peraturan di rumah akan mudah mengikut peraturan di sekolah. Sahsiah pelajar dibentuk dari rumah menunjukkan bahawa pelajar yang telah melakukan kesalahan disiplin merupakan pelajar yang kurang sahsiahnya.

            Merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7/1986, tugas kita seharusya tertumpu kepada faktor sekolah yang boleh kita kawal dan ubah seperti mewujudkan iklim yang baik dalam sekolah dan bilik darjah. Masalah yang dihadapi oleh Cikgu Amin boleh ditangani sekiranya masalah ini dibendung sejak awal lagi. Apabila Cikgu Amin menyedari bahawa terdapat sekumpulan kecil pelajar lelaki yang sering ponteng kelas, Cikgu Amin perlu mengetahui punca mereka ponteng agar tindakan selanjutnya dapat diambil. Cikgu Amin perlu menyiasat faktor yang menyebabkan pelajarnya ponteng kelas dan cuba untuk menasihatkan mereka agar tidak terus ponteng. Sekiranya tindakan ini tidak berkesan, Cikgu Amin perlu berjumpa dengan pihak pentadbir sekolah agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan. Setelah dimaklumkan, pihak pentadbir boleh mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap para pelajar agar mereka tidak berani ponteng pada masa yang lain. Pelaksanaan peraturan sekolah juga perlu diperketatkan agar pelajar tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan sekolah. Sebagai seorang guru, Cikgu Amin juga perlu memotivasikan pelajarnya yang lain agar tidak mengikuti rakan-rakan mereka yang ponteng. Antara cara memotivasikan pelajar yang dapat dilakukan ialah melalui pujian terhadap pelajar yang hadir di dalam kelas. Hal ini akan membuatkan mereka bersemangat untuk terus hadir. Cikgu Amin juga perlu meneliti semula cara pengajarannya di dalam kelas. Guru yang dikatakan tidak pandai mengajar adalah antara punca gejala ponteng berleluasa dalam kalangan pelajar. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Md. Khir berkata, segelintir guru yang tidak kreatif dalam pengajaran sehingga menyebabkan sesi pengajaran membosankan, akan mendorong pelajar ponteng kelas (Utusan Malaysia, 16 Oktober 2004). Cikgu Amin perlu lebih kreatif dalam merancang pengajaran yang berkesan untuk pelajarnya. Selain itu, Cikgu Amin juga perlu mengurus bilik darjah dengan lebih sistematik. Para pelajar perlu didisiplinkan dengan ketepatan masa agar tiada pelajar yang sengaja masuk lewat ke dalam kelas. Cikgu Amin juga perlu memastikan kelas sentiasa dalam keadaan kondusif dan ceria agar pelajar berasa seronok belajar di dalam kelas.  Pihak pengurusan sekolah perlu berusaha untuk memastikan sekolah menjadi tempat yang seronok kepada para pelajar mereka bagi menangani masalah ini (Utusan Malaysia, 16 Oktober 2004).

            Pendekatan modifikasi tingkah laku juga boleh dijadikan panduan dan rujukan bagi menyelesaikan masalah ponteng kelas. Model Modifikasi Tingkah Laku B.F Skinner menggunakan prinsip peneguhan. Terdapat dua jenis peneguhan iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif berlaku apabila ransangan diberikan. Contohnya, Cikgu Amin boleh menggunakan sistem merit dan demerit terhadap pelajarnya. Apabila pelajar hadir, 5 markah merit akan diberikan. Markah merit yang diberikan ini ialah contoh peneguhan positif. Antara peneguhan positif yang lain ialah pujian, hadiah dan sebagainya. Apabila pelajar ponteng, 5 markah demerit akan dikenakan. Markah demerit ini akan mengurangkan markah merit yang dikumpulkan murid. Ini ialah contoh peneguhan negatif. Cikgu Amin mengeluarkan ransangan yang tidak diingini pelajar bagi mendapatkan tingkah laku yang diingini. 5 mata markah yang dipotong merupakan ransangan yang tidak diingini dengan harapan pelajar akan kembali hadir ke kelas dan mengumpulkan mata merit seterusnya. Setiap hujung bulan, pelajar yang mendapat markah merit tertinggi akan menerima hadiah. Menurut B.F Skinner lagi, tingkah laku banyak dipengaruhi atau dibentuk oleh peneguhan yang diterima sebaik sahaja tingkah laku tersebut ditunjukkan. Oleh itu, sebaik sahaja pelajar menunjukkan tingkah laku yang diingini seperti datang ke kelas, Cikgu Amin perlu memberi peneguhan seperti hadiah ataupun mata merit selepas tingkah laku tersebut. Peneguhan yang diberikan juga perlulah tetap dan berkala. Setiap kali pelajar hadir awal ke kelas, Cikgu Amin perlu memuji, berterima kasih, memberikan mata merit ataupun memberikan hadiah. Dengan peneguhan ini, pelajar akan berusaha hadir awal kerana diteguhkan atau mendapat ganjaran selepas menunjukkan tingkah laku yang diingini. Apabila kehadiran pelajar mulai penuh dan mereka hadir awal ke kelas, Cikgu Amin bolehlah mengurangkan peneguhan tersebut dan memberikan peneguhan apabila diperlukan sahaja. Sebagai contoh, apabila kehadiran pelajar lengkap dan mereka hadir awal ke kelas, Cikgu Amin tidak lagi memberikan pujian setiap hari tetapi hanya meneguhkan pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Cikgu Amin perlu memastikan jarak masa memberikan peneguhan tidak terlalu lama kerana jika tingkah laku pelajar tidak diteguhkan dalam jangka masa yang lama, pelajar akan kembali ponteng kelas.
           
            Seorang guru perlulah sentiasa peka dengan persekitaran dan keadaan anak didiknya. Guru perlulah bersikap ambil peduli, bertanggungjawab dan kreatif. Meskipun begitu, pembentukan modal insan ini tidak semata-mata terletak di atas bahu seorang guru. Ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan perlulah memainkan peranan yang penting agar anak-anak ini tidak terus melakukan kesalahan ponteng kerana dikhuatiri mereka akan terjebak dalam gejala negatif yang amat merisaukan. Hal ini amat penting dalam melahirkan generasi yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Comments

Popular posts from this blog

Pembedahan Ovarian Cyst

11 teknik mengawal disiplin pelajar dlm kelas

Mengajar Math dengan Permainan